jgnbeliebookini2

Langkah Pertama Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Membuat Keputusan Membeli Rumah

Langkah Pertama Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Membuat Keputusan Membeli Rumah

Membeli rumah pertama adalah antara keputusan kewangan terbesar dalam hidup seseorang. Ia bukan sekadar soal memiliki tempat tinggal, tetapi juga melibatkan komitmen jangka panjang yang akan memberi kesan kepada gaya hidup, aliran kewangan, malah perancangan masa depan.

Ramai pembeli rumah pertama melangkah terlalu cepat – hanya kerana teruja dengan promosi pemaju, atau kerana terpengaruh dengan rakan-rakan. Akhirnya, mereka terbeban dengan ansuran bulanan yang tidak mampu ditanggung atau menanggung risiko rumah yang tidak sesuai dengan keperluan. Oleh itu, memahami langkah awal sebelum membeli rumah amat penting untuk mengelakkan kesilapan yang mahal.

 

1.1 Kenapa Perlu Rumah Pertama?

Setiap orang mempunyai sebab berbeza untuk membeli rumah:

  1. Tempat tinggal sendiri – memberikan kestabilan hidup, tidak lagi bergantung pada sewa rumah.
  2. Pelaburan masa depan – hartanah boleh meningkat nilai dan menjadi aset berharga.
  3. Perancangan keluarga – rumah pertama menjadi asas untuk membina kehidupan berkeluarga.

Namun, apa jua sebabnya, pembeli perlu jelas bahawa rumah pertama bukan semestinya rumah idaman. Ia mungkin lebih kecil, lebih sederhana, atau berada di lokasi yang tidak begitu ideal – tetapi ia adalah langkah permulaan yang penting.

 

1.2 Menilai Tahap Kewangan Diri

Sebelum mencari rumah idaman, anda perlu menilai kemampuan kewangan diri. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah:

  • Pendapatan Bulanan Bersih – Berapa gaji bersih selepas ditolak potongan KWSP, PERKESO, zakat atau cukai.
  • Komitmen Hutang Sedia Ada – Pinjaman kereta, PTPTN, kad kredit dan pembiayaan peribadi.
  • Kadar Hutang Berbanding Pendapatan (Debt Service Ratio, DSR) – Bank biasanya hanya lulus pinjaman jika jumlah komitmen hutang tidak melebihi 60-70% daripada pendapatan bersih bulanan.

Contoh:
Ali bergaji bersih RM3,500 sebulan. Komitmen hutangnya RM700 (kereta) + RM200 (PTPTN). Maka baki kemampuan bayaran ansuran rumah ialah sekitar RM1,200 – RM1,500 sebulan.

 

1.3 Mengira Kelayakan Awal

Secara umum, ansuran rumah yang selamat untuk dibayar setiap bulan ialah sekitar 30–35% daripada gaji bersih.

Contoh kiraan:
Ali bergaji bersih RM3,500.
30% × RM3,500 = RM1,050.

Maka, Ali hanya selesa membayar ansuran sekitar RM1,000 sebulan. Dengan ansuran ini, harga rumah yang sesuai untuk Ali mungkin sekitar RM180,000 – RM220,000 (bergantung kadar faedah & tempoh pinjaman).

 

1.4 Menyediakan Wang Simpanan Awal

Ramai pembeli rumah pertama terlepas pandang bahawa membeli rumah bukan hanya bayar ansuran pinjaman sahaja. Anda juga perlu menyediakan:

  • Deposit Rumah (10%) – Biasanya perlu dibayar semasa menandatangani Perjanjian Jual Beli (S&P).
  • Kos Guaman & Duti Setem – Anggaran 3% – 4% daripada harga rumah.
  • Kos Penilaian Bank – RM500 – RM1,500 bergantung kepada harga rumah.
  • Kos MRTA/MRTT atau MLTA – Perlindungan insurans/takaful pinjaman rumah.

 

1.5 Menentukan Tujuan Rumah Pertama

Sebelum memilih rumah, tentukan dulu tujuan:

  1. Rumah untuk duduk sendiri
    • Utamakan lokasi berhampiran tempat kerja, akses pengangkutan, sekolah dan fasiliti harian.
    • Tidak perlu terlalu besar, cukup selesa untuk diri atau keluarga kecil.
  2. Rumah untuk pelaburan
    • Fokus kepada kawasan yang ada permintaan sewa tinggi (berhampiran universiti, kawasan industri, pusat bandar).
    • Periksa kadar sewa pasaran, supaya ansuran bulanan boleh ditampung penyewa.
  3. Jenis rumah di Malaysia:
    1. Rumah subsale (second-hand)
    2. Rumah baru projek pemaju
    3. Rumah kos rendah atau mampu milik (PR1MA, Rumah Selangorku, Residensi Wilayah, dll.)

 

1.6 Elakkan 3 Kesilapan Biasa Pembeli Rumah Pertama

  1. Tidak buat kajian pasaran – hanya beli kerana terpengaruh dengan iklan atau promosi. Anda boleh buat kajian sendiri pasaran pada peringkat awal adalah melalui merujuk beberapa portal hartanah seperti Propertyguru, Mudah dan lain-lain lagi. Di mana anda Semak harga dengan merujuk Lokasi rumah dan ciri-ciri rumah yang hampir sama berapa harga jualan rumah (asking price) tersebut.
  2. Beli rumah yang terlalu mahal – akhirnya terbeban dengan ansuran dan kos sara hidup. Mahal adalah subjektif bagi sesetengah orang. Bagi orang yang mampu bayar bulanan RM2000, mungkin bagi mereka tidak ada masalah tetapi yang kurang mampu pasti akan cakap mahal. Senang cerita ukur baju dibadan sendiri dan beli rumah mengikut kemampuan. Bukan ikut cakap orang.
  3. Tidak sediakan dana kecemasan – jika berlaku kehilangan kerja atau kecemasan kewangan, rumah boleh dilelong bank. Pastikan Syarikat tempat kerja ada PERKESO di mana ada insurans yang boleh bantu anda apabila diberhentikan kerja, iaitu melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) oleh PERKESO. Anda boleh memohon elaun sementara, bantuan perkhidmatan pekerjaan, dan latihan kemahiran melalui skim SIP ini. 

6183580191645872048

 

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *